Sabtu, 5 November 2016

Semangat yang Kian Luntur Kini takkan pernah Padam

Assalamualaikum buat semua pembaca yang sudi meluangkan masa untuk hadir ke blog ini. Moga semua dirahmati Allah s.w.t

Harinie saya ingin buat sedikit perkongsian tentang analisa sebuah buku politik. Analisa buku nie sebenarnya Assignment bagi subjek "Isu2 Kontemporari Politik Malaysia" ... Analisa ini suka untuk saya tujukan buat gen-Y seperti saya. sebab apa? sebab kita hidup di zaman yang sudah merdeka lagi canggih dan juga selesa. jadi saya ingin membawa anda semua ikuti sorotan analisa ringkas dari sebuah buku yang setebal 193 muka surat ini. JOM!

chop! baca sampai habis ye. "Bangsa Membaca,Bangsa Berjaya" apa2 komen boleh komen di ruangan komen. peace #KipidapHinggaKemenangan

Buku yang bertajuk Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan nukilan Mohamed Salleh Lamry. Dalam buku ini, penulis membawa empat persoalan utama seperti yang berikut. Pertama, di mana letaknya perjuangan bersenjata itu dari segi sejarah? Setakat manakah pentingnya perjuangan mereka? . Kedua, apakah sumbangan mereka kepada perjuangan kemerdekaan? Setakat manakah benarnya dakwaan mereka bahawa British telah mempercepatkan pemberiaan kemerdekaan kepada Negara ini kerana adanya perjuangan bersenjata itu?. Ketiga, mengapa dan bagaimana mereka menamatkan perjuangan bersenjata yang berlanjutan selama lebih 40 tahun, sehingga melahirkan apa yang dinamakan perjanjian perdamaian?. Yang terakhir, adakah orang yang berjuang menggunakan senjata adalah komunis. Semua persoalan yang dikemukakan di atas telah dijawab dengan jelas, pembaca mudah memahami apa yang disampaikan oleh penulis. Penulis membahagikan buku ini kepada sembilan bab.
Penulis membincangkan gerakan awal haluan kiri sebelum perang dunia kedua sehingga kemerdekaan. Huraian yang digunakan oleh penulis adalah dari mengikut perspektif orang-orang yang terlibat dengan perjuangan itu sendiri, perspektif orang-orang yang terpinggir dan dipinggirkan serta terkeluar dari arus perdana. Sumber-sumber yang diperolehi oleh penulis terpecah kepada 3 bahagian sumber. Yang pertama (tokoh itu sendiri, bahan yang diterima dari tokoh serta teks ucapan dan penulisan lama mahupun baru ). Yang kedua (penulisan ahli akademik dalam Negara juga luar Negara). Yang ketiga ( pihak berkuasa,khasnya dokumen dan penulisan pegawai cawangan khas dan tentera).
Penulis berjaya menemu ramah dengan tokoh-tokoh gerakan kiri melayu. Tokoh nya ialah Abdullah C.D., Suriani Abdullah, Rashid Maidin, Abu Samah Mohamad Kassim dan Ibrahim Chik. Pembantu Abdullah C.D., iaitu Yaakob Ibrahim juga terlibat dalam dengan mengumpulkan bahan rujukan buat penulis.


Sehubungan dengan penerangan awal berkaitan penulis dalam proses-proses untuk menyiapkan buku ini, ada baiknya jika dijelaskan serba sedikit konsep kiri dan nasionalis kiri yang digunakan dalam buku ini. Penulis mengambil pendapat Khoo Kay Kim (1981) sebagai rujukan utama. Mengikut Khoo Kay Kim (1981,167) dalam perbincangannya tentang golongan kiri di kalangan orang melayu antara 1945-1948, golongan kiri Melayu pada mulanya boleh didefinisikan sebagai mereka yang menentang UMNO, kerana pihak UMNO dapat berunding dengan pihak Inggeris dalam politik Tanah Melayu. Walaupun ini merupakan penyebut sepunya (common demonitor) yang menentukan seseorang itu kiri atau kanan, namun golongan kiri itu terdiri daripada pelbagai ragam perkumpulan dan pelbagai tokoh dengan pendirian masing-masing.
Secara amnya adalah mungkin untuk membahagikan goongan kiri Melayu itu kepada beberapa kelompok mengikut jarak mereka daripada pihak yang berkuasa (Khoo Kay Kim 1981, 184). Kelompok pertama yang ‘paling jauh’ daripada pihak yang berkuasa ialah kelompok ‘kiri pelampau’ (extreme left). Kelompok ini memang mempunyai komitmen yang jelas dari segi ideology, kerna mereka terlibat secara langsung dengan PKM. Mereka telah menyusup ke dalam pelbagai organisasi anti pihak yang berkuasa, walaupun tidak sentiasa bertanding untuk memegang kedudukan sebagai pemimpin. Kelompok ini, bagaimanapun, pada akhirnya didapati adalah yang paling kurang mendapat sokongan daripada golongan rakyat biasa Melayu.
Selepas kelompok ini, terdapat kelompok kiri komited (committed left) :mereka yang cenderung kepada sosialisme dalam pengertian yang luas atau sekurang-kurangnya ingin melihat perubahan struktur dilakukan terhadap masyarakat Melayu. Kelompok ini juga kecil bilangannya. Sebahagian kecil daripada mereka dengan cepat menyertai kelompok kiri pelampau selepas Darurat diisytiharkan, tetapi sebahagian besar menunggu peluang untuk menyekutukan diri dengan parti politik yang ditubuhkan secara legal seperti Parti Rakyat Malaya (PRM). Pengaruh mereka di kalangan orang melayu juga merosot dan tidak bertambah lagi selepas beberapa tahun.
Satu kelompok lain, yang paling kuat bersikap anti-British ialah kelompok kiri Islam (Islamic left), iaitu mereka yang terlibat dengan Hizbul Muslimin yang dipimpin oleh Abu Bakar Al-Bakir. Hizbul Muslimin mempunyai pengikut yang ramai di pelbagai bahagian Negara ini melalui PEPERMAS, MATA dan LEPIR. Walaupun Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak terlibat secara langsung dengan pelbagai organisasi ini, tetapi beliau boleh juga dimasukkan dalam kelompok tersebut. Malah kerana pengaruh Dr. Burhanuddin, ramai ulama, termasuk Abu Bakar Al-Bakir, yang menyokong PKMM, iaitu parti yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin pada permulaannya. Setelah Dr. Burhanuddin dilantik menjadi Presiden PAS pada 1956, kebanyakan orang dari kelompok kiri Islam ini telah turut memasuki PAS.
Ada juga kelompok yang boleh digelar sebagai kiri fana (transient left). Mereka ialah orang yang paling mudah membuat penyesuaian. Perjuangan mereka jelas tidak berasaskan sesuatu ideology. Mereka hanya inginkan penerimaan dan bahkan, selepas pengisytiharan Darurat mereka tanpa segan silu telah memasuki UMNO dan ramai daripada mereka secara beransur-ansur menduduki jawatan sebagai pemimpin. Beberapa orang SABERKAS boleh dimasukkan dalam kelompok ini. Ramai juga orang kiri fana ini yang terdapat dalam PKMM, API dan AWAS.
Dan yang akhirnya, terdapat kelompok yang mempunyai pegangan nasionalistik yang kuat. Mereka dianggap kiri bukan dari segi ideology, tetapi kerana mereka menentang UMNO yang mempunyai hubungan yang rapat dengan pentadbiran British dan banyak memberi konsesi kepada golongan bukan Melayu. Dalam 1950-an, mereka banyak terdapat dalam Kesatuan Melayu Semenanjung yang dipimpin oleh Ahmad Jamal dan Hashim Ghani dari Melaka. Mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan Kesatuan Melayu Johor yang dipimpin oleh Dr. Hamzah.
Setelah mengetahui pembahagian kelompok-kelompok kiri, tiba masa untuk mengupas tentang gerakan-gerakan awal kiri yang wujud sebelum perang dunia kedua sehingga kemerdekaan.

Gerakan Komunis antara gerakan awal yang wujud di Tanah Melayu. Perkembangannya berlaku pada tahun 1927, ramai orang dari Indonesia yang umumnya tokoh dan aktivis komunis melarikan diri ke Tanah Melayu, bermula dari itu ramai orang Melayu direkrut untuk bersama dengan Gerakan Komunis. Bermula dengan penubuhan sekolah malam untuk menyebarkan propaganda Komunis. Selepas itu, ahlinya ditugaskan utntk mengembara dari satu tempat ke satu tempat untuk memberi ceramah, mengajar dan menguruskan hal-hal berkaitan dengan pendirian pertubuhan-pertubuhan komunis yang menggunakan sekolah malam sebagai pusat kegiatan mereka. Sehingga awal tahun 1930, Gerakan komunis di Tanah Melayu masih merupakan gerakan Komunis di China. Perselisihan yang berlaku dalam Parti Komunis China menyebabkan Gerakan Komunis di Tanah Melayu hampir terputus. Atas arahan Komunis antarabangsa, maka terwujud lah PKM (Parti Komunis Malaya) pada April 1930 (tarikh sebenar penubuhan masih menjadi kontroversi).
Jika Gerakan Komunis yang wujud di tanah melayu disebabkan banyak dipengaruhi Komunis di China, kemunculan gerakan nasionalisme kiri di kalangan orang Melayu pula, sama ada secara langsung atau tidak, banyak dipengaruhi dan didokong oleh perkembangan politik dan gerakan nasionalisme di Indonesia. Pergerakan ini wujud kerana anak-anak muda yang membaca bahan bacaan dari Indonesia sedikit sebanyak mengikuti perkembangan nasionalisme di Negara itu.
 Tidak diduga pada mulanya sehingga mendorong timbulnya kesedaran politik anti kolonial di kalangan mereka (Abdul Samad 1982, 310). Pada 1929, Ibrahim telah menubuhkan sebuah gerakan pelajar secara haram yang diberi nama Ikatan Pemuda Pelajar. Kemudian 1930 beliau menubuhkan Ikatan Semenanjung Borneo atau Belia Malaya yang juga pertubuhan haram juga. Gerakan ini dianggotai oleh 35 orang pelajar SITC.


Apabila Jepun menyerang Malaya pada Disember 1941 PKM ketika itu berada dalam keadaan yang kuat. Tawaran PKM telah diterima dari kerajaan penjajah British untuk membantu selepas 10 hari selepas serangan Jepun bermula, PKM bersetuju untuk menyediakan seberapa ramai komunis Cina yang boleh diterima berlatih di Sekolah Latihan Khas 101 (Special Training School 101). Seramai 200 orang dilatih di sekolah itu. Mereka lah yang menjadi inti pati pasukan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya atau Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) yang dibentuk oleh PKM. Sekatan yang dilakukan pihak Jepun tidak menghalang MPAJA terus mara menentang Jepun sehingga mereka meninggalkan tanah melayu pada tahun 1945.
Tokoh yang pernah berada dalam gerakan komunis sebenarnya berada dalam MPAJA, antara tokoh yang direkrut masa perang itu ialah Mokhtaruddin Lasso, Abdullah C.D. dan Rashid Maidin. Bulan Ogos dan September 1945 ramai orang Melayu meninggalkan MPAJA kerana berlaku racial violence antara orang Melayu dan orang Cina. MPAJA yang juga dikenali sebagai Tentera Bintang Tiga yang berjanji untuk membebaskan Tanah Melayu telah diberi sokongan Pasukan Wataniah, KMM (Kesatuan Melayu Muda), PETA sekitar tahun 1943, namun Tentera Bintang Tiga yang dikuasai oleh komunis belot dalam peristiwa 14 hari tahun 1945 itu.
Rentetan dari gerakan nasionalisme kiri di kalangan orang Melayu wujud satu organisasi politik yang legal yang dipanggil KMM (Kesatuan Melayu Muda). PKM wujud untuk menubuhkan sebuah republik komunis yang bersifat multirasial dan persamaan serta keadilan sebuah bangsa. KMM pula mahu Malaya Merdeka bergabung dengan Indonesia dalam sebuah entiti politik yang disebut Melayu Raya atau Indonesia Raya (Cheah Boon Kheng 1983, 101). KMM tidak menunjukkan permusuhan terhadap dasar British, tetapi secara rahsia membuat hubungan dengan organisasi sayap kelima Jepun, yang disebut Kame, yang diilhamkan oleh Konsul Jeneral Jepun di Singapura. Akibat penglibatan KMM dengan Kame menyebabkan dalam anggaran 110 orang ahli dan pegawai KMM dari seluruh Negara ditangkap dan ditahan polis bermula 4 Disember 1941.
Penangkapan yang berlaku sepanjang Disember, ketika Jepun menyerang Malaya. Antara yang ditangkap termasuklah Ibrahim Yaacob, Yang Dipertua KMM dan Ishak Haji Muhammad (Cheah Boon Kheng 1983, 102). Banyak langkah yang diambil oleh KMM untuk menghalang penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Akibat daripada itu pada Jun 1942 hanya beberapa bulan bergerak secara terbuka KMM telah dilarang bergerak seterusnya dibubarkan. Larangan bergerak dan pembubaran KMM telah menyatakan mesej jelas kepada pucuk pimpinan KMM bahawa Jepun tidak akan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu, walaupun KMM telah membantu Jepun menentang British. Ada di antara ahli KMM yang terpilih dalam pasukan MPAJA yang berjuang menggunakan senjata untuk terus membebaskan Tanah Melayu dari penjajahan.
Selepas Jepun menyerah kalah dan sebulan selepas itu British kembali memerintah. Perjuangan nasionalisme tidak terhenti, pada 17 Oktober 1945 PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Muda) ditubuhkan oleh ahli PKM dari bangsa Melayu bersama-sama dengan tokoh-tokoh KMM dan tokoh nasionalis Melayu. Antara mereka yang menghadiri mesyuarat penubuhan parti itu ialah Mokhtaruddin Lasso, Arshad Ashaari, Baharuddin Tahir, Rashid Maidin dan Abdullah C.D. dari golongan komunis. Ahmad Boestamam dan Dahari Ali dari golongan bukan bukan komunis.
Yang Dipertua Agung PKMM yang pertama ialah Mokhtaruddin Lasso, seorang anggota PKM yang pernah tinggal di Moscow selama 18 bulan dan bekas ketua Melayu dalam MPAJA. Jawatan Naib Yang Dipertua disediakan untuk Dr. Burhanuddin, seorang nasionalis agama, walaupun beliau tidak hadir. Jawatan Setiausaha Agung dipegang oleh Dahari Ali, Sementara Arshad Ashaari menjadi Bendahari. Ahli jawatankuasa pusat pula, terdiri daripada Ahmad Boestamam, yang mengetuai bahagian pemuda dan Khadijah Ali mengetuai bahagian Wanita. Khadijah Ali juga dari golongan Komunis.


Antara konflik-konflik yang berlaku di dalam PKMM adalah menyokong dan menentang Malayan Union, bergabung dan berpisah dengan UMNO, menentang cadangan Perlembagaan Persekutuan dan menyokong gerakan politik di Gunung Semanggol.
          Gerakan kiri melayu selepas Jepun menyerah kalah dan British kembali menjajah di Tanah Melayu selain dari PKMM adalah gerakan yang ditubuhkan atas inisiatif Dr. Burhanuddin dan Ustaz Abu Bakar Bakir. Dua gerakan yang ditubuhkan pada Mac tahun 1947 selepas satu Persidangan Ekonomi-Agama Se-Malaya telah diberi nama Pusat Perekonomian Melayu Se-Malaya (PEPERMAS) dan Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA) . Ustaz Abu Bakar Bakir Dipilih menjadi Presiden PEPERMAS dan Penasihat MATA.
          Rentetan dari penubuhan PEPERMAS dan MATA, tertubuhnya sebuah parti politik Islam pada Mac 1948 yang dinamakan Hizbul Muslimin (HM). Menjelang April 1948, jawatankuasa kerjanya telah ditubuhkan dan pada bulan Jun HM menubuhkan Jabatan Pemuda (Sabab Hizbul Muslimin), dengan menggunakan cawangan MATA  sedia ada sebagai rangkaian perhubungan, cawangannya tertubuh seluruh Negara dengan ahlinya meningkat hampir 2,500 orang.
          Bagaimanapun, aktiviti HM terganggu dengan pengisytiharan darurat pada Jun 1948. Banyak aktiviti dan program yang dirancang terbantut pergerakannya. Kelesuan aktiviti HM tidak menjadikan parti itu terlepas dari pantauan British. Pada Ogos 1948, tujuh orang pemimpin parti itu termasuk Presiden dan jawatankuasa kerja telah ditangkap di bawah Undang-undang Darurat, akibat dari penangkapan itu aktiviti parti itu berakhir hanya lima bulan selepas parti itu ditubuhkan.
          Sungguhpun aktiviti Hizbul Muslimin terhenti, namun keghairahan sokongan rakyat khususnya dari alim ulama terhadap perjuangan politiknya amatlah memberangsangkan. Semangat dan sokongan kental inilah yang akhirnya merintis jalan mudah ke arah penubuhan Parti Islam Se-Malaya (PAS) pada tahun 1951.
Antara badan gabungan PKMM adalah Angkatan Pemuda Insaf (API),sebagai sayap pemuda PKMM. Selain itu, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) merupakan jabatan wanita PKMM. Barisan Tani Malaya ditubuhkan untuk menguatkan PKMM dari kalangan kaum Tani. Setelah API diharamkan tertubuh pula Pembela Tanah Air (PETA).
Secara keseluruhan hasil analisa ringkas yang dapat kita lihat dan perhatikan secara dasar adalah semangat nasionalisme yang saying akan tanah air nya dari dijajah oleh Negara lain yang datang untuk mengeksploitasi hasil bumi. Selain itu, pelbagai cara yang digunakan oleh gerakan untuk membela tanah air sama ada menggunakan cara bersenjata atau diplomatik. Tidak kenal erti penat lelah walaupun diharamkan mereka akan sentiasa mencari inisiatif untuk terus berjuang mencapai kemerdekaan. Mehnah orang yang berjuang tidak mudah seperti hamparan karpet merah, mereka berjuang masa,harta dan nyawa untuk menegakkan kebenaran.

Rujukan :
Mohamed Salleh Lamry, 2006. Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia