Ahad, 27 Jun 2010

Musuh Jangan Dicari, Jika Bertemu Pantang Mundur

Hadith :
Abu Hurairah r.a berkata:”Nabi SAW bersabda:”Janganlah kamu berharap untuk bertemu musuh, tetapi apabila kamu bertemu musuh maka bertahanlah.”
(Bukhari dan Muslim)

Huraian
Dalam kehidupan ini sebagai manusia kita sering berhadapan dengan perkara yang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Oleh itu hendaklah kita sentiasa berhati-hati dan jangan sengaja melakukan perkara yang menimbulkan kemarahan orang lain atau dengan perkataan lain jangan kita sengaja mencari musuh kerana ia menunjukkan sikap orang yang sombong dan bongkak. Namun jika ditakdirkan kita bertemu dengan musuh maka bertahanlah dan jangan mudah menyerah kalah. Bersabarlah dan mohonlah kekuatan daripada Allah SWT semoga kita berada di pihak yang benar.

Tiada Kompromi Dalam Maksiat


Hadith :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya kecacatan pertama yang berlaku pada Bani Israil ialah apabila seorang lelaki melihat lelaki lain melakukan maksiat, dia akan berkata:”Wahai si fulan! Takutlah kepada Allah dan tinggalkan kerja maksiat yang engkau sedang lakukan itu kerana ia tidak harus bagi engkau untuk melakukannya. Kemudian pada keesokan harinya lelaki yang menegah itu melihat lelaki yang melakukan maksiat itu masih melakukan maksiat yang sama, tetapi dia tidak mencegahnya kerana barangkali pelaku maksiat itu merupakan orang yang memberinya makan dan minum atau rakan baiknya. Apabila Bani Israel melakukan perbuatan seperti itu, maka Allah telah memperlagakan sesama hati mereka dan kemudian Allah melaknat mereka melalui lidah para anbiya’-Nya.”
Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi

Huraian
1. Allah SWT melarang kita daripada bertolak ansur dan berkompromi dalam perbuatan maksiat kerana perkara tersebut merupakan suatu dosa besar dan mengundang laknat daripada-Nya.
2. Segala kebaikan dan kesenangan yang diperolehi adalah rahmat daripada Allah SWT. Oleh itu, sebagai hamba-Nya kita wajib bersyukur dengan melakukan ketaatan dan menjauhi sebarang perbuatan maksiat kerana melakukan maksiat adalah sifat hamba yang tidak tahu bersyukur.
3. Sesungguhnya apa jua yang kita perolehi yang berupa kebaikan segalanya adalah daripada Allah SWT dan apa jua keburukan yang menimpa maka itu adalah disebabkan diri kita sendiri disebabkan oleh dosa-dosa yang dilakukan.

Gangguan Solat

Hadith :
Diceritakan oleh Ibnu Umar r.a bahawa nabi s.a.w pernah bersabda ketika perang di Khaibar:”Sesiapa yang memakan buah ini, iaitu bawang, maka janganlah dia mendekati masjid kita ini.”
(al-Bukhari)

Huraian
Bawang adalah sejenis tumbuhan makanan yang jika dimakan secara mentah akan menjadikan mulut si pemakan itu berbau busuk. Hal ini sudah tentu akan mengganggu orang lain yang duduk atau solat berdekatan dengan si pemakan. Oleh itu Rasulullah s.a.w tidak menggalakkan umatnya berbuat demikian lebih-lebih lagi apabila hendak bersolat secara berjamaah. Demikianlah Islam begitu menjaga segenap aspek kesopanan dalam beribadat yang bukan sahaja tertumpu kepada hubungan dengan Allah malah sesama manusia juga supaya masing-masing dapat menghayati solat yang dikerjakan dengan sebaik-baiknya.