Selasa, 4 Ogos 2015

Abah Idolaku Umie Ratu Hatiku

Assalamualaikum, dpt lagi kita bertemu dalam post nie. Diharap nya semua dalam sihat sejahtera selepas beberapa kejadian yg sngt menggemparkan negara spt derma 2.6 Bilion dan sebagainya. Hee

Kalinie nak kongsi tentang Ibu bapa . Ibu bapa lah org yg pertama kita jumpa setelah kita lahir di dunia ini, dgn ibu bapa jugak lah kita wujud di alam yg fana ini.
Namun apabila kita kian dewasa, Rasa Hotmat kpd mereka semakin berkurangan, mungkin hal ini timbul apabila berasa diri kita terlalu besar.

Apa yg diulas dibawah ini ttg anak derhaka. Nauzubillahuminzalik .semoga kita semua dijauhkan menjadi anak yg derhaka. Jom sama sama selusuri .

Dalam al quran al kariim telah menyebut di dalam surah Al-Isra' 17:23
... "Maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya 'ahh', dan janganlahh kamu membentak keduanya" ...
عقوق الوالدين
( derhaka  kepada ibu bapa) adalah dosa besar. Kerana itu, Rasulullah saw sebagaimana yang disampaikan oleh Ibnu al-Atsir dalam kitabnya an-Nihaayah melarang perbuatan derhaka kepada kedua ibu bapa.
Seseorang dikatakan 'aqqa waalidahu ya'uqquhu 'uqaaqan, fahuwa 'aaqun jika telah menyakiti hati orang ibu bapanya, menderhakainya dan telah keluar darinya.

Kata ini merupakan lawan daripada kata al-birru bihi (berbakti kepadanya).

Kata al-'uquuq (derhaka) berasal daripada  perkataan al-'aqq yang bererti asy-syaq (mematahkan) dan al-qath'u (memotong).
Jadi, seorang anak dikatakan telah derhaka kepada ibu bapanya jika dia tidak patuh dan tidak berbuat baik kepadanya, atau dalam bahasa arab disebut al-'aaq (anak yang  derhaka).

Jamak daripada kata al-'aqq adalah al-'aqaqah. Berdasarkan makna ini, maka rambut yang keluar daripada kepala seorang bayi yang baru lahir daripada perut ibunya dinamakan aqiqah, kerana rambut itu akan dipotong.
Jadi, yang dimaksud dengan perbuatan derhaka kepada kedua ibu bapa adalah mematahkan 'tongkat' ketaatan kepada keduanya, memutuskan tali hubungan yang terjalin antara ibu bapa dengan anaknya, meninggalkan sesuatu yang disukai keduanya, dan tidak mentaati apa yang diperintahkan atau diminta oleh mereka (ibu bapa). .
Yang dimaksud dengan al-'uquuq (derhaka) adalah mematahkan 'tongkat' ketaatan dan 'memotong' (memutus) tali hubungan antara seorang anak daripada ibu bapanya.

Jadi, yang dimaksud dengan perbuatan derhaka kepada kedua ibu bapa adalah mematahkan 'tongkat' ketaatan kepada keduanya, memutuskan tali hubungan yang terjalin antara ibu bapa dengan anaknya, meninggalkan sesuatu yang disukai keduanya, dan tidak mentaati apa yang diperintahkan atau diminta oleh mereka (ibu bapa).

:: Berikut dinyatakan 7 ciri-ciri anak derhaka:-

1⃣. Mengatakan 'ahh' kepada ibu bapa dan mengeraskan atau meninggikan suara di hadapan mereka ketika berbicara, dan juga tidak memberikan nafkah kepada ibu bapa apabila dan ketika mereka memerlukan.

2⃣. Tidak melayani mereka dan berpaling daripadanya. Lebih derhaka lagi apabila memerintahkan ibu bapa.

3⃣. Menajamkan pandangan mata kepada keduanya ketika marah atau kesal kepada mereka berdua kerana sesuatu hal.

4⃣. Membuat kedua ibu bapa bersedih dengan melakukan sesuatu hal, meskipun si anak berhak untuk melakukannya. Namun, wajib diingati, hak kedua ibu bapa ke atas diri anak lebih besar daripada hak seorang anak.

5⃣. Malu mengakui kedua ibu bapanya di hadapan orang kerana keadaan kedua ibu bapanya yang miskin, berpenampilan sederhana, tidak berilmu, cacat atau alasan lainnya.

6⃣. Tidak berdiri (menyambut kepulangan) sebagai tanda menghormati ibu bapa dan mencium tangannya.

7⃣. Duduk mendahului ibu bapanya dan berbicara tanpa meminta izin saat memimpin majlis di mana ibu bapanya hadir di majlis itu kerana ini adalah sikap sombong dan takkabur dan melecehkan ibu bapa.

Semua itu termasuk bentuk-bentuk kederhakaan kepada kedua ibu baoa. Oleh kerana itu kita haruslah berhati-hati dan membezakan dalam berkata-kata dan berbicara dengan kedua ibu bapa dengan orang lain.

Seringnya, balasan daripada derhaka kepada kedua ibu bapa akan dirasakan atau dibayar 'cash' oleh Allah swt, di dunia.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad, Abu Daud dan Tirmidzi daripada sahabat Abi Bakrah ra mengatakan bahaw Nabi Muhammad saw berkata, "Tidak ada dosa yang Allah cepatkan azab kepada pelaku di dunia ini dan Allah juga akan mengazab di akhirat, iaitu yang pertama ialah mereka yang berlaku zalim, kedua memutuskan silaturahim."

Dalam hadith lain dikatakan;

"Dua peruntukan dosa yang Allah cepatkan azab seksaannya di dunia iaitu orang yang zalim dan al-'uquq (derhaka kepada kedua ibu bapa)."
[ Hadith Riwayat Hakim 4/177 daripada Anas bin Malik ra ]

Keredhaan ibu bapa harus kita dahulukan daripada keredhaan isteri dan anak. Kerana Nabi saw mengatakan anak yang derhaka akan di azab di dunia dan di akhirat serta tidak akan masuk syurga dan Allah tidak akan memandangnya di hari kiamat nanti.

Sedangkan dalam lafaz yang lain diriwayatkan boleh Imam Baihaqi, Hakim, Ahmad dan juga yang lainnya, dikatakan:

... " Daripada Abdullah bin Umar ra berkata, 'Telah berkata rasulullah saw, ada tiga golongan yang tidak akan masuk syurga dan Allah tidak akan melihat mereka pada hari kiamat nanti iaitu anak yang derhaka kepada kedua ibu bapanya, perempuan yang menyerupai lelaki dan ketua rumah tangga yang membiarkan  ada keburukan dalam rumah tangganya.'." ...
[ Hadith Riwayat Hakim, Baihaqi, Ahmad 2/134 ]

Jadi, salah satu yang menyebabkan seseorang tidak akan masuk syurga ialah derhaka kepada kedua ibu bapanya.

Dapat kita lihat bahawa mereka yang derhaka kepada ibu bapanya tidak mendapat berkah dan selalu mengalami pelbagai macam kesulitan.
Seandai ada seorang anak yang derhaka kepada kedua ibu bapanya kemudian kedua ibu bapa tersebut mendoakan keburukkan, maka doa kedua ibu bapa tersebut akan segera dimakbulkan oleh Allah swt.

Kerana dalam hadith yang sahih Nabi saw bersabda " Daripada Abu Hurairah ra telah berkata Rasulullah saw, ada tiga doa yang dikabulkan oleh Allah swt yang tidak diragukan tentabg doa ini, yang pertama iaitu doa kedua ibu bapa terhadap anak, keduanya adalah doa orang yang bermusafir (yang sedang dalam perjalanan), yang ketiganya ialah doa orang yang dizalimi." ...[ Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad, Abu Dawud dan Tirmidzi ]

Banyak sekali riwayat yang sahih yang menjelaskan tentang akibat buruk daripada derhaka kepada ibu bapa di dunia mahupun di akhirat.

Terdapat juga kisah-kisah nyata tentang azab (siksaan) terhadap anak yang derhaka, dari kisah tersebut ada yang sahih dan sewajarnya kita mengambil ibroh (pengajaran) daripadanya.
-------------------------------
Ibu bapa dalam kaca mata islam mempunyai banyak kedudukan yang istimewa. Terlalu banyak petunjuk daripada al-quran yang memerintahkan anak-anak supaya mematuhi dan berbuat baik kepada keduanya. Perintah dan arahan supaya berbuat baik kepada ibu bapa ini adalah suatu kewajipan yang tidak boleh dipandang enteng oleh anak-anak selagi mana tiada kemaksiatan kepada Allah swt. Antaranya beberapa firman Allah swt ;

1⃣. "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa."
( Surah al-Nisa' 4:36 )

2⃣. "Katakanlah: 'Marilah, supaya Aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa"
( Surah al-an'am 6:15)

Begitu juga jika kita perhatikan wasiat Luqmanuk Hakim kepada anaknya:
... "Dan Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. Dan Kami mewajibkan manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya."
( Surah Luqman 31:13-14)

Jika seorang anak yang soleh dijamin kebaikannya oleh Allah swt dan rasulnya, begitu juga seorang anak yang derhaka. Azabnya dan sengsara pasti akan datang kepadanya.

Rasulullah saw pernah bersabda: "Dua kejahatan yang akan disegerakan balasannya di dunia ialah zina dan menderhaka kepada kedua ibubapa"
[ Hadith riwayat al-Tirmizi ]

Dalam hadith yang lain juga Baginda saw ada bersabda: "Semua dosa akan ditangguhkan oleh Allah swt iaitu menurut kehendaknya  hingga ke hari kiamat, melainkan balasan menderhaka kepada ibu bapa. Maka, sesungguhnya Allah swt akan menyegerakan kepada pelakunya semasa hidup di dunia ( sebelum mati )."
[ Hadith riwayat al-Hakam ]

Ibnu Umar ra juga pernah menyebut bahawa ada sembilan dosa-dosa yang paling besar antaranya:

* Mempersekutukan Allah
* Membunuh orang lain tanpa hak
* Melarikan diri dari medan perang
* Memfitnah wanita solehah dengan tuduhan zina
* Memakan riba
* Memakan harta anak yatim
* Melakukan maksiat dalam masjid
* Menghina ibu bapa
* Ibu bapa menangis disebabkan kederhakaan seorang anak
[ Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad hadith no.8 ]

Berjihad dan keredhaan ibu bapa seharusnya seiring. Jangan sampai kita mencari sesuatu kebaikan tetapi melupakan keutamaan. Ingatlah:

... "Keredhaan Allah swt itu terletak pada keredhaan kedua ibu bapa" ...

Dalam hadith yang lain pula, menunjukkan betapa seorang anak yang ingin turut serta dalam jihad wajib mendapatkan keizinan daripada kedua ibu  bapa. Ini sebagaimana yang disebut oleh Abu Said al-Khudri ra:
"Ada seorang pemuda dari Yaman yang berhijrah kepada rasulullah saw semata-mata untuk berjihad, lalu Baginda saw bertanya:
'Adakah engkau mempunyai seseorang di Yaman?'
Jawab pemuda itu:
'Ibubapaku'
Rasulullah saw bertanya lagi:
'Adakah mereka memberi keizinan kepada engkau?'
Jawab pemuda tersebut:
'Tidak.'
Lalu rasulullah saw bersabda:
' Kembalilah kepada mereka berdua, dan mintalah izin! Jika mereka izinkan maka berjihadlah! Tetapi jika tidak, maka berbuat baiklah kepada mereka berdua'. "...

Dakwah dan ibu bapa manakah yang perlu didahului? Memberi ketaatan kepada jemaah dan ketaatan kepada ibubapa. Masing-masing mempunyai hujah kewajibannya. Tetapi ingatlah:
...'Tidak boleh menderhakai ibu bapa kerana dakwah. Tetapi tidak boleh juga meninggalkan dakwah kerana ibu bapa'...

Dalam islam, jihad adalah sesuatu yang sangat mulia. Terlalu banyak petunjuk dari al-quran yang menunjukkan kemuliaan orang yang berjihad. Namun, keizinan daripada ibu bapa juga perlu diutamakan.

Imam al-Syaukani ra berkata:

1⃣. Berbakti kepada ibu bapa adalah lebih utama daripada berjihad.
Wajib meminta izin daripada ibu bapa dalam urusan jihad. Pendapat ini adalah pendapat jumhur ulama yang menyatakan haram berjihad jika salah seorang daripadanya tidak mengizinkan, kerana berbakti kepada kedua ibu bapa adalah fardhu ain dan berjihad adalah fardhu kifayah. Melainkan jika sekiranya jihad jatuh dalam fardhu ain, maka hukumnya pada ketika itu tidak perlu mendapatkan keizinan 
( Nail al-Authar: Jilid 4 )

Seorang lelaki pernah datang kepada Rasulullah saw untuk berbaiah sedangkan ibu bapanya yang ditinggalkan dalam keadaan menangis. Lalu rasulullah saw memerintahkannya supaya kembali ke pangkuan ibu bapanya dengan sabda baginda:

"Kembalilah kepada mereka berdua dan gembirakanlah mereka sebagaiman kamu menjadikan mereka menangis"...

Semoga kita dijauhkan dariaada ciri-ciri ini. Jika ada, segeralah ubahnya dan bersegeralah taubat memohon keampunan pada Allah swt dan seterusnya yang utama, mohonlah kemaafan dariapda ibu bapa.

Jangan suatu waktu menjadi penyesalan yang tak sudah. Yang mana waktu itu, menangis air mata darah sekalipun sudah tak guna lagi.

Sebelum menamatkan post kita ini, fikirkanlah, sampai bila sahaja Allah akan pinjamkan mereka kepada kita? Seringlah bermonolog pada diri.

Credit : Usrah Whatsapp Syababul Muslimeen

Tiada ulasan:

Catat Ulasan